Monday, May 22, 2017

Akhlak seorang penyelia PhD

Assalamualaikum

Kadangkala rasa geli hati bila baca balik entri yang lepas. Tulisan ku ni banyak berasaskan emosi berbanding fakta. Jadi sebab tu rasa geli hati, kadang kala malu, apatah lagi jika nak promosikan blog ni, pasti lebih malu. :)

Ada sesuatu yang aku nak share. Semalam aku ada skype meeting dengan lecturer ku dari Belanda. Apa lagi, soal jawab soal jawab, terkial-kial lah aku menjawabnya. Ada jawapan contradict, bila disoal semula aku terdiam. Tapi nak cerita tentang akhlak lecturer ku itu, atau lebih tepat penyelia PhD ku itu, memang akhlak mereka terbaik. Walaupun aku dengan segala cacat cela ini, mereka tidak pernah sekali mencela ku. Bila aku tidak tahu, aku bertanya semula, mereka akan terangkan. Cara mereka fikir sangat objektif. Kalau ada sesuatu yang aku buat salah, meraka akan bagi tahu akan beri idea macam mana untuk baiki. Matlamat mereka nak capai objektif, iaitu aku mesti siapkan tesis PhD aku tahun ini.

Aku rasa inilah hadiah terindah aku sepanjang 6 tahun (lebih) buat PhD ni (tak payah nak heran, aku lembap sikit, sebab tu PhD ni ambik masa. :) Takpelah lain kali aku cerita apa faktor lain yang mungkin jadi penyebab kepada lamanya aku belajar).  Oh, ape hadiah tadi? Dapat guru@ penyelia PhD yang sabar, baik, berilmu, dan nak berkongsi ilmu mereka dengan aku.  Terima kasih cikgu!

Tuesday, May 16, 2017

Kancil burukku

Assalamualaikum.

Soal rezeki janganlah diungkit-ungkit atau dipersoalkan kerana yang berkuasa memberinya cuma Allah. Manusia cuma menjadi pengantara. Ingat ini. Supaya kita tidak berasa sedih, terkilan, malu atau apa-apa sahaja sebab kita tahu Allah yang Maha Kaya itu juga Maha Pemberi dan Maha Sempurna. Allah cuma akan beri yang terbaik sahaja buat hamba-Nya sesuai dengan keadaan hamba tersebut.

Ada satu cerita. Suatu hari aku dan anakku yang kedua, Nur Fatima yang pada masa itu berumur 8 tahun dalam perjalanan ke sekolahnya menaiki kancilku yang berusia hampir 12 tahun pada waktu itu. Dia berkata, "Ima rasa malu naik kereta mama ni." Syukur, pada waktu itu emosiku sedang stabil dan ceria. Apabila mendengar soalan Fatima, lebar senyumku dan ada rasa teruja. Lantas ku soal dia kembali, "kenapa Ima rasa macam tu?". "Iyalah, kancil mama nikan dah buruk," jawabnya. Berfikir sejenak, lalu aku pun menjawab, "Allah Maha Kaya, Allah yang ciptakan langit, bumi, matahari, dan semua makhluk yang ada di dunia ni Allah yang ciptakan. Jadi, Allah mesti ada sebab tersendiri kenapa dia bagi kancil ni pada mama. Ima tahu, kancil ni takde hutang, dia tak susahkan mama, minyak murah. Kita kena bersyukur sebab ada orang lagi susah dari kita. Kereta buruk pun tiada", begitulah serba sedikit peneranganku pada Fatima. Dia nampaknya berpuas hati dengan penjelasan ku. Harap-harap dia benar faham. :)

Sebenarnya aku yakin, Allah juga mengajarku melalui anak kecil ku itu. Tidak dapat dinafikan, umurku pada waktu itu sudah 36 tahun. Bahkan tatkala aku menulis coretan ini umurku akan mencecah 37 tahun dan aku masih memandu kancil buruk itu. Ada orang, pada usia begini sudah memiliki kereta besar, rumah besar, dan badanpun besar. Tapi aku tidak seperti mereka. Sesekali terdetik juga dalam hati sampai bila aku akan begini? Sesungguhnya, kalau kita mula membandingkan diri dengan orang lain, memang kita takkan gembira. Tapi kita mesti tahu perjalanan hidup setiap kita berbeza. Siapa yang tak inginkan kesenangan. Tapi caturan Allah itu tak siapa tahu. Kita cuma boleh berusaha dan selebihnya serahkan pada Allah. Jadi, tatkala aku terasa kecil memandang orang di sekeliling ku, aku pejamkan mata, ku fokuskan akalku dan hatiku membayangkan perjalanan ku ini hanyalah untuk kembali kepada-Nya. Setiap makhluk diciptakan istimewa di sisi-Nya. Aku tidak ketinggalan, moga aku diberi taufiq dan hidayah agar selalu redha dengan setiap ketentuannya. Supaya redha-Nya juga sentiasa menjadi milikku. Tiada lain yang lebih indah daripada mengecap redha-Nya bukan?

Oh ya, rezeki bukan saja pada material, tapi pada ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang baik, akhlak yang terpuji, ringan mengerjakan ibadah kepada Allah, rakan sekeliling yang baik hati, guru-guru yang mengajar kita dan anak kita tanpa jemu, suami yang hebat dan banyak lagi. Kalau nak ditulis, tak tertulis nikmat dan rezeki Allah pada kita. Itu yang kita tahu, yang kita tak tahu ada banyak lagi contohnya apabila kita terhindar dari kecelakaan. Tapi sebab kecelakaan itu sudah terhindar, kita tidak pernah tahu bahawa itu antara rezeki terbesar Allah untuk kita. Ya Allah, jadikanlah aku di kalangan hamba-Mu yang bersyukur. Amin. :)

Jazakallah, Huda.