Thursday, June 15, 2017

Sudah jatuh ditimpa tangga

Assalamualaikum warahmatullah.

Beberapa tahun lepas semasa memandu ke tempat kerja biasalah aku mesti dengar radio IKIM. Masa tu Usatazah Nurhafizah Musa sedang ke udara. Topiknya berkisarkan tentang macam mana nak tangani emosi yang sedih, jadi ada banyak ustazah dapat panggilan daripada pendengar. Salah satu yang saya paling ingat, ada seorang kakak ni sedih mengadu pada ustazah, katanya suaminya hendak kahwin lagi satu. Respon ustazah sangat menarik. Yang aku ingat, ustazah kata nak buat macam mana, tak boleh dihalang orang yang dah nak kahwin lagi. Biarlah dengan suami tu, mungkin dia seronok, tapi bayangkan nanti dia beranak kecil sedangkan umurnya sudah tua. Adakah kakak nak begitu? Dan ustazah kata, yang boleh kita kawal ialah diri kita. Enjoylah dengan apa yang Allah dah beri. Anak-anak yang besar, dah ada lebih masa untuk diri sendiri, isikan dengan perkara yang bermanfaat dan menggembirakan. Dan aku ingat ustazah cakap, dahlah orang buat kita begitu, respon kita pada keadaan kalau tak menguntungkan kita, ibaratnya kita ni sudahlah jatuh ditimpa tangga..

........OK, cerita di atas berlaku lebih kurang 2-3 tahun dulu. Aku ingat, suka, hargai ilmu tu, tapi macam biasalah, penghayatan belum lagi. Kata kunci yang ustazah cakap, sudahlah jatuh ditimpa tangga.

Awal tahun ni, ingatan tentang pesan ustazah makin kuat ku rasakan. Puncanya, aku sangat tertekan kerana PhD ku ini macam tak nampak bila nak habis. Tertekan sebab dah takde gaji, tertekan sebab bila takde gaji masa yang aku ada untuk menulis thesis semakin sedikit sebab semua urusan hantar ambil anak, masak, aku kena buat sendiri. No more tapau atau duduk kedai makan kerap macam dulu. Jadi purata menulis thesis cuma sekitar 2 jam sehari. Dengan masalah thesis yang belum siap, tambah lagi dengan cabaran menguruskan kewangan. :) Fuh..memang menguji emosi dan kesihatan akal. Bila pergi kerja pulak, tak tahan malu nak hadap muka dekan, pensyarah yang rajin tanya bila nak habis PhD? Aduhhh...

Tapi aku ingat balik, aku ni takkan nak jadi 'sudahlah jatuh ditimpa tangga?' Kesian pulak aku dengan diri sendiri. Bermati-matian berusaha, namun rezeki masih belum dikurniakan Allah. Tapi mana boleh marah dengan Allah sebab perancangan Allah tu terbaik. Tiada ragu. Cuba, kena sabar, wajib sabar. 

Disebabkan muncul rasa hormat dan sayang diri sendiri, aku mengejutkan diri aku dari sedih atau risau itu. Aku mesti ubah attitude. Aku sudah jatuh dengan izin Allah. Tapi aku tak boleh biarkan diriku ditimpa tangga. Jadi dengan penuh semangat dan rasa hormat dengan diri, dan redha dengan takdir Allah, aku berazam untuk mengamalkan attitude yang lebih positif.

Cara-caranya ialah;

1- Banyakkan syukur. Aku baca, dengar dari ceramah ustaz/ustazah tentang syukur. Apa yang al-Quran cakap tentang syukur. Hinggalah aku paling ingat Surah Ibrahim ayat 7Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". 

2- Ingat tentang luasnya rezeki Allah. Teringat aku Ustaz Nouman kupas tentang ayat 8 surah Ali Imran, (Ayat: 8) (رَبَّنَا لاَتُزِغْ قُلُوبَنَا)“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan” maksudnya, janganlah Engkau menyimpangkan hati kami dari kebenaran kepada kebatilan, (بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَة) “sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau” yang dengannya akan baik, segala kondisi kami. (إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ) “Karena sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi, (karunia).”

- Ustaz kata مِن لَّدُنكَ رَحْمَة tu besar sangat ertinya. Rahmat disisi Allah itu ialah sangat hebat, tak terjangkau di akal kita, "special vault" istilah yang ustaz guna. 

Jadi dengan 2 dalil al Quran di atas itu, sudah terlalu cukup untuk aku mengamalkan attitude yang lebih positif dan buat aku rasa lapang, dunia rasa luas. Nikmatilah kesusahan yang sedikit ini dengan harga diri yang tinggi. Walau terasa pahit di hati, senyumlah. Bila jumpa dengan orang lain, jangan rasa rendah diri. Sebab apa kesenangan yang orang lain ada itupun dari Tuhan yang sama. Percayalah dengan janji Allah, setiap kesusahan akan beriring dengan kesenangan. 

Dan pokok pangkalnya aku tak nak diriku ini ibarat 'sudah jatuh ditimpa tangga'.  Biarlah aku jatuh, sakit, tapi di sebalik sakitnya jatuh itu, aku tambah sedar diri. Sedar aku ni hamba. Banyak lagi nikmat Tuhan lain yang aku lupa syukuri. Aku mesti usahakan untuk jadi hamba Tuhan yang lebih baik. Janganlah sampai Tuhan ambil lagi nikmat-nikmat lain baru aku nak sedar yang aku ini hamba Tuhan?

Ye...senyumlah. Jalanlah ke depan, senyumlah pada dunia dan semua makhluknya. Rasakan angin sepoi yang membelai, dengarkan kicauan burung yang merdu, dan syukurilah riuh rendah anak-anak di rumah. Nikmat Tuhan yang mana lagi yang aku dustakan?? Sebab selagi kita masih bernyawa, selagi itu peluang masih ada. Siapa tahu esok aku dapat gunung emas? :P. By the way, dalam syurga ramai orang miskin. Allahuakbar. Apalah yang aku nak kejar ni sebenarnya? 

Oi, koje koje. Thesis bila nak siap?

Best regards,
Huda.



No comments: